Jamal hadir bawa tuala, beri 12 saranan pada k’jaan S’gor

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos gagal menyerahkan memorandum mengandungi 12 cadangan menangani masalah air beserta tuala, gayung dan berus gigi kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Jamal yang berada di depan pintu masuk utama ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) tidak dapat berbuat demikian kerana laluan masuk ke pusat pentadbiran kerajaan negeri itu dikawal ketat anggota polis.

Katanya, tidak ada seorang pun wakil, sama ada dari Pejabat MB atau SUK datang untuk mengambil memorandum itu.

Berikut adalah saranan Jamal kepada kerajaan Selangor:

  1. Agensi penguatkuasaan seperti Jab Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan perlu tegas, sentiasa amanah dan memantau selama 24 jam sehari pada 365 hari setahun kepada setiap pelepasan effluen dari pihak industri yg beroperasi dalam Negeri Selangor.
  2. Loji rawatan Air Langat 2 perlu di segerakan demi menjamin pembekalan air mentah kepada rakyat negeri Selangor.
  3. Kerajaan Negeri perlu mengenakan syarat tiada pelepasan effluen dari industri dan kumbahan memasuki sungai dalam Negeri Selangor walau pun mereka mematuhi standard pelepasan yang dibenarkan. Kita melihat sewaktu Perintah Kawalan Pengerakan pada bulan Mac dan April yg lepas tahap kualiti air sungai di Selangor menjadi baik kerana banyak industri tidak beroperasi.
  4. Memulihkan semula sungai yang telah tercemar di Selangor dengan kadar segera dan menjadikan sungai sebagai tempat rekreasi dan istirehat rakyat.
  5. Mewujudkan mahkamah khas pencemaran untuk mendakwa
    terus penjenayah alam sekitar di mahkamah dengan hukuman yang berat tanpa mengambil masa yg lama.
  6. Mewujudkan bon jaminan pencemaran dengan jumlah bon yang tinggi kepada setiap industri yang berpotensi melepaskan pencemaran ke dalam sungai.
  7. Meletakkan data tahap semasa kualiti air sungai dalam seluruh negeri selangor di papan tanda elektronik milik Pihak Berkuasa Tempatan pada setiap hari.
  8. Mewujudkan skuad pemantau sungai 24 jam sehari untuk memantau semua sungai dalam Negeri Selangor.
  9. Pemakluman awal kepada rakyat sekiranya sebarang pencemaran air di kesan untuk rakyat dapat menyediakan bekalan air bersih di rumah.
  10. Penjenayah alam sekitar yang melakukan pencemaran terus di tangkap dan di penjarakan pada masa akan datang.
  11. Bagi kilang yang tidak berlesen dan masih beroperasi dalam jarak radius 2 KM dari Sungai Wajar di hentikan operasi.
  12. Minta Kerajaan Negeri senaraikan berapa banyak lagi kilang yang tidak berlesen yang masih beroperasi dalam negeri selangor. Rakyat ingin tahu.

I-Kembali beri nafas baru pada bekas penghuni ‘tirai besi’

Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak) Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad menerima kunjungan lawatan daripada pihak pengurusan Jabatan Penjara Penor dan Bentong ke Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) yang terletak di Jenjarom, Selangor pada Isnin, 7 September 2020.

Kata Siti Murni, bekas banduan yang terpilih akan melalui satu proses saringan ketat di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan mengikut kesesuian dan minat bekas banduan berkenaan.

Konsep ‘hijrah’ ini menumpukan enam prospek sektor industri iaitu perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, pemasaran dan pengurusan.

Beri peluang kerjaya pada bekas penghuni penjara untuk mulakan hidup baru

Pihak majikan di syarikat-syarikat swasta disaran membuka peluang pekerjaan kepada bekas penghuni penjara sebagai usaha membantu mereka mendapatkan kehidupan baru.

Pengarah Penjara Kajang, Abdul Halim Ma-Hasan berkata, melalui Program Penempatan Semula Penghuni, seramai 900 bekas penghuni Penjara Kajang bekerja dengan pelbagai syarikat sejak tahun lalu.

“Kita menjalinkan kerjasama dengan NGO dan majikan yang menyediakan peluang kerjaya kepada penghuni yang akan bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi kunjungan hormat Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad di Penjara Kajang pada Jumaat.

Pergak, melalui program I-Kembali, menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas penghuni penjara sebaik dibebaskan dari tirai besi.

Dalam sidang media yang sama, Siti Murni menjelaskan tumpuan penempatan kerja I-Kembali membabitkan enam sektor iaitu industri perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, pemasaran dan pengurusan.

Ujarnya, bekas penghuni penjara terpilih akan melalui satu proses saringan di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan mengikut kesesuaian.

“Majikan tidak perlu curiga untuk mengambil bekas penghuni penjara bekerja kerana kita telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang disarankan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, peluang sebegitu dapat memberi motivasi kepada bekas penghuni penjara untuk lebih bersemangat dan memulakan hidup baru dengan kerjaya yang stabil.

Tampil bertuala lagi, Jamal gelar MB ‘kambing’

Tatkala rakyat Selangor sedang berdepan masalah gangguan bekalan air, Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos tampil bertuala lagi, kali ini di lokasi air terjun.

Dalam video dimuat naik di Youtube, Jamal mengkritik Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebagai ‘kambing’ kerana gagal mengatasi isu gangguan air sejak sekian lama.

Salah siapa krisis air di Selangor?

Menjengah permulaan September, krisis air di Selangor melanda kembali. Tidak perlu dihuraikan berapa kali senario ini berlaku. Segala maklumat boleh didapati dalam carian Google.

Di media sosial, rakyat Selangor mula berkongsi pengalaman bermacam ragam, berkeluh kesah, selain melontarkan berbakul makian kepada kerajaan negeri dan juga ahli politik. Pihak lawan juga turut senada mengkritik kerajaan negeri, ibarat harimau menerkam mangsanya.

Pun begitu, rakyat semakin bijak menilai pihak mana yang tidak menjalankan tugas yang diamanahkan untuk menguruskan keperluan asas ini.

Tidak perlu disalahkan Air Selangor dan sekutu, mereka cemerlang dalam kebertanggungjawapan menghentikan terus operasi loji air dek kerana pencemaran. Jika tidak, sudah tentu kita terus menikmati bekalan air tercemar. Syabas buat mereka!

Umum sudah diketahui, pemilik syarikat penyelenggaraan mesin dan jentera yang merupakan empat beradik itu direman selama enam hari selepas disyaki menjadi punca pencemaran air dan bau di Sungai Gong, Rawang. Perbuatan ini menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang, membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Untuk rekod, kilang punca pencemaran sungai itu adalah pesalah berulang dan pernah didenda RM60,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Mac semasa fasa pertama perintah kawalan pergerakan (PKP).

Semua pihak mula gelabah. Terbaru, kerajaan negeri berkata Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan dipinda pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan datang dengan meningkatkan nilai denda kepada RM1 juta. Cukupkah?

Dan terbaru, kerajaan negeri juga mengarahkan supaya pemilik premis merobohkan struktur bangunan yang terdapat di tanah tersebut kerana tanah persendirian yang dibangunkan sebagai premis penyelenggaraan jentera berat itu didapati tidak mempunyai kebenaran merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Setelah berlakunya insiden kali kedua, mengapa baru nampak arahan untuk bertindak? Apakah selama ini, pihak majlis tutup sebelah mata berhubung isu struktur bangunan premis itu? Atau adakah wujud salah guna kuasa dan rasuah di kalangan mereka?

Jika kerajaan negeri tidak dapat mengendalikannya, bagaimana harus kita mempercayai mereka dengan perkara-perkara lain yang melibatkan kehidupan dan kesejahteraan umum?

Sudah tiba masanya, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri menggubal Akta Alam Sekitar sedia ada dengan lebih ketat, bukan setakat denda RM1 juta bahkan hukuman lebih berat setimpal dengan harga trauma yang dilalui rakyat, jika insiden seperti ini berulang lagi.

Akta yang digubal itu tidak harus bertumpu kepada pencemaran air dan bau di Selangor sahaja, tetapi di semua negeri, termasuk pembalakan haram di hutan yang semakin rakus meratah kehijauan alam sehingga mati.

“Benteng pisahkan penjara dengan dunia luar kini ditembusi Covid-19”

Enam kes baharu berkaitan Covid-19 dalam Kluster Benteng Lahad Datu yang dikesan di Penjara Tawau, Sabah amat mengejutkan kerana benteng yang dibina bagi memisahkan penghuni penjara dengan dunia luar telah ditembusi.

Pengarah Penjara Kajang, Abdul Halim Ma-Hasan tidak dapat membayangkan sekiranya perkara itu berlaku dalam kawasan penjara di bawah seliaannya yang kini memuatkan kira-kira 6,800 penghuni dalam satu-satu masa.

“Ini sesuatu yang baharu dan mengejutkan kerana benteng yang kita bina memisahkan penghuni penjara dengan dunia luar telah ditembusi.

“Saya sendiri secara peribadi memang takut dan bimbang tentang perkembangan ini.

“Penjara Kajang sendiri kita ada lebih 6,800 penghuni, bayangkan jumlah ini berada dalam satu persekitaran dijangkiti dengan wabak Covid-19, saya tak boleh nak gambarkan,” katanya pada sidang media di pejabatnya pada Jumaat.

Terdahulu Abdul Halim menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad bagi menjayakan Program Usahasama Jabatan Penjara Malaysia bersama penghuni Penjara Kajang.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan terdapat enam kes baharu Covid-19 di Kluster Benteng Lahad Datu dikesan di Penjara Tawau, Sabah.

Menurutnya, empat pesakit yang juga banduan di penjara itu mempunyai sejarah pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.

“Kesemua banduan itu kemudian telah pulang ke Penjara Tawau pada 28 Ogos lalu dan seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baharu di penjara berkenaan.

“Kesemua kes positif baharu didapati tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau,” katanya Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Abdul Halim mengakui terdapat kekangan untuk mempraktikkan penjarakan fikizal dalam kalangan penghuni Penjara Kajang kerana tempat yang terhad.

“Mereka (penghuni penjara) tiada penjarakan sosial, memang tak boleh nak buat sebab di dalam (penjara) muatan sebenar hanyalah 3,400 orang, tapi hari ini kita kumpulkan 6,800 orang di mana lebihannya lebih 100 peratus.

“Jadi kita tidak mempunyai ruang untuk kita pisahkan (penghuni). Lebih membimbangkan apabila penghuni penjara sentiasa berubah-ubah, ada yang masuk, ada yang keluar, perkara ini amat membimbangkan kita,” jelasnya.

Abdul Halim boleh berbangga apabila Penjara Kajang setakat ini masih bebas daripada jangkitan pandemik Covid-19 meskipun keadaan penghuninya terpaksa berasak-asak akibat kekangan ruang dan tempat.

“Ini kerana pendekatan yang kita ambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga oleh Jabatan Penjara Malaysia.

“Kita telah mengadakan beberapa kaedah (pencegahan) khususnya kita buat pengasingan kepada mana-mana penghuni yang baru kita terima

“Katakanlah penghuni masuk, jadi kita akan tempatkan mereka di satu blok dalam tempoh 14 hari.

“Sekiranya kita dapati bahawa mereka bebas daripada jangkitan atau unsur-unsur Covid-19, barulah kita pindahkan kepada sel-sel biasa,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya memberi penekanan kepada kebersihan diri, dalam kalangan penghuni, anggota yang bertugas dari segi tempat tinggal, pakaian, tempat bekerja sepanjang masa berada dalam Penjara Kajang.

“Kerja-kerja sanitasi kita buat setiap hari, kita ada pasukan untuk melakukan sanitasi dari luar sampai ke dalam (penjara) dan pasukan ini melaksanakan kerja mereka setiap hari.

“Itulah kaedah yang kita lakukan hingga saat ini kita bebas daripada jangkitan Covid-19.

“Alhamdulillah setakat ini kita boleh kawal keadaan ini (Covid-19),” katanya.

“Bayangkan kuasa politik terlepas ke tangan orang lain, ke mana anak cucu kita nak pergi”

Tidak menolak kemungkinan orang Melayu tidak mungkin mendapat peluang sama rata untuk berjaya sebagai usahawan jika kuasa politik jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi.

Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu terbukti sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara apabila institusi milik orang Islam seperti Tabung Haji (TH) dikacau ganggu pemimpin bukan Islam hingga banyak aset miliknya dilelong.

“Insya-Allah saya yakin orang Melayu ini bijak, bagi peluang kita mungkin boleh menjadi bangsa yang hebat suatu hari nanti tapi dengan syarat politik mesti dalam tangan orang Melayu.

“Kalau kuasa terlepas, ekonomi pun terlepas, kuasa politik pun terlepas, jawabnya kita akan merintih di negeri sendiri.

“Bayangkan kuasa politik terlepas ke tangan orang lain, ke mana anak cucu kita nak pergi,” katanya berucap pada Pelancaran Usahawan Bangkit Digital anjuran Umno Shah Alam, di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Umno Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Noh yang juga pengerusi Perbadanan Usahawan Malaysia Berhad (PUNB) memberi gambaran nasib agensi kerajaan khusus untuk membantu usahawan Melayu dan Bumiputera boleh terjejas dan terancam jika Melayu hilang kuasa politik.

“Kalau tak mampu sewa kilang sebab harga naik, PUNB masih ada boleh tolong beli kilang baharu, sebab kita masih ada kuasa (politik).

“Sebab PUNB ini khusus untuk Bumiputera…kalau kita hilang kuasa saya bimbang, Tabung Haji dia boleh putar belit, apatah lagi PUNB.

“Tak mustahil…dia kata Menteri Pembangunan Usahawan sudah ada, kenapa PUNB mesti ada pula khusus untuk orang Melayu nak kena tolong. Bila-bila masa dia boleh tutup…macam-macam cara dia boleh buat…Tabung Haji dia boleh kacau, tambah pula PUNB.

“Tapi Insya-Allah selagi kita ada kuasa politik, Insya-Allah hak orang Melayu tetap akan kita perjuang dan pertahankan,” katanya lagi.

Umno Shah Alam lapor polis isu 5 akaun FB fitnah Noh Omar

Umno Shah Alam membuat laporan polis ke atas lima akaun Facebook yang menfitnah Tan Sri Noh Omar kononnya memberi wang suapan kepada pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Umno Shah Alam Azman Mat Isa berkata, laporan dibuat berikutan isu yang berlaku pada 30 Ogos lalu di mana beberapa pemilik akaun Facebook dikesan memuat naik hantaran bersama gambar Ahli Parlimen Tanjong Karang itu yang sedang memberikan wang kepada orang ramai.

“Hantaran itu mengatakan Tan Sri Noh kononnya mengedarkan wang kepada pengundi pada PRK Slim dan mendakwa kemenangan Barisan Nasional dalam PRK itu disebabkan rasuah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 hari ini.

Turut hadir, Pemuda Umno Shah Alam, Wanita Umno Shah Alam dan Pertubuhan Kami Prihatin Selangor (Prihatin).

Menurutnya, gambar yang dimuat naik itu adalah gambar lama pada 2 Februari 2018 iaitu ketika Noh menghadiri satu majlis bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Desa di Tanjung Karang.

“Tan Sri Noh dipercayai memberikan bantuan persekolahan bernilai RM100 kepada setiap keluarga pelajar yang dihadiri lebih 1,300 ibu bapa dan ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Tindakan beberapa pemilik akaun Facebook yang memuat naik gambar ini tidak bertanggungjawab dan telah melakukan satu fitnah serta berniat jahat untuk menjatuhkan kredibiliti, integriti dan imej Tan Sri Noh,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya meminta pihak polis menyiasat dan mendakwa pemilik akaun Facebook berkenaan.

Gojo sasar 50,000 pemandu e-hailing berdaftar akhir tahun depan

Syarikat perkhidmatan pengangkutan berasaskan e-hailing terbaru, Gojo kini mempunyai 3,000 orang pemandu baharu yang mendaftar dengan syarikat itu.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Kumpulan Gojo, Pradeep Kumar berkata, pihaknya mengunjurkan seramai 50,000 pemandu berdaftar di bawah syarikat tersebut menjelang akhir tahun hadapan.

Menurutnya, pemandu baharu yang mendaftar dengan Gojo sebelum 31 Disember 2020 berpeluang memperoleh kredit e-dompet bernilai RM250 selain tiada potongan komisen selama dua bulan.

“Setakat ini, kami telah membelanjakan kira-kira RM500,000 nilai kredit e-dompet kepada lebih 2,700 pemandu berdaftar di sekitar Lembah Klang.

“Berpegang teguh pada komitmen kami terhadap pemandu, Gojo turut menyediakan dana pengasas yang bertujuan melindungi kebajikan pemandu yang terkesan dengan penularan pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ‘Merdeka Spirits Unites Malaysians despite Social Distancing Campaign’ di Kelab Diraja Selangor Dataran Merdeka pada Khamis lalu.

Hadir sama, Pengerusi NS Capital Ventures, Datuk Seri Paduka N Surendran dan Pengarah Operasi Gojo Asia, Shaharul Bahrin Nahruddin.

Pada majlis itu, pelitup muka dan bendera Jalur Gemilang turut diagihkan kepada kira-kira 20 orang pemandu Gojo serta tetamu dan media yang hadir sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63.

Sementara itu, Shaharul Bahrin berkata, Gojo ditubuhkan bukan sekadar bermotifkan keuntungan semata-mata tetapi pihaknya ingin membantu pemandu serta penumpang yang mahukan perkhidmatan pengangkutan cekap, cepat, selamat dan lebih murah.

Katanya, komitmen Gojo terhadap penumpang merangkumi Privasi Data, Bantuan Kecemasan, Pemeriksaan Latar Belakang Pemandu dan mematuhi SOP Keselamatan Covid-19, namun mereka yang layak perlu memenuhi syarat-syarat tertentu seperti antaranya memiliki insurans, lesen PSV dan kereta harus dalam keadaan baik.

G57 buat laporan polis dakwa Shafie Apdal fitnah Musa Aman

Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57 hari ini membuat beberapa laporan polis ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan dua lagi anggota Parti Warisan.

Pengerusinya Datuk Zulkarnain Mahdar berkata laporan itu dibuat ke atas Mohd Shafie kerana kenyataan beliau bahawa bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman kononnya memberikan hampir sejuta ekar tanah kepada individu tertentu temasuk ahli keluarga sendiri. 

“Fitnah ini dibuat tanpa ada bukti kukuh dan apa yang menghairankan adalah sepanjang Shafie mengetuai Sabah selama 26 bulan, isu pemberian tanah langsung tidak pernah ditimbulkan malah laporan rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak dibuat. 

“Malangnya selepas pengumuman DUN Sabah dibubarkan, Shafie telah keluar kenyataan fitnah untuk menjejaskan imej dan kredibiliti Musa bagi mengalihkan isu kegagalan Shafie mengurus tadbir negeri Sabah dengan baik” katanya pada sidang akhbar di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini. 

Beliau juga meminta supaya tindakan undang-undang diambil ke atas dua anggota Parti Warisan Sabah iaitu Nordin Ening dan Ismaily Bungsu yang menuduh Musa sebagai perompak serta dan pencuri tanpa sebarang bukti. 

Zulkarnain berkata laporan polis itu juga dibuat terhadap Mohd Shafie susulan beberapa video oleh Jufazli Shi Ahmad menyifatkan pemimpin tersebut sebagai ejen Filipina yang menuntut Sabah. 

“Apa yang peliknya Shafie tidak mengambil tindakan saman fitnah ke atas Jufazli ini, dan jika ia fitnah, sepatutnya beliau berani tampil ke hadapan untuk saman tetapi sampai sekarang dia tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Beliau berkata polis harus menyiasat sama ada dakwaan itu benar atau tidak kerana yakin Jufazli tidak akan berani mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa bukti kukuh. – Bernama